Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

Thursday, March 31, 2011

Aku gembira bila...



Aku benar-benar gembira bila orang-orang yang aku sayang senang dengan kehidupannya tanpa ditakluk rasa duka nestapa. Aku tumpang happy sebenarnya... apabila kedua ibubapaku sudah gembira dengan keputusan yang diambil. Diharapkan juga keputusan tersebut juga akan membuatkan insan yang berkenaan turut senang setelah timbul 'akar serabut' disepanjang perbincangan. Pokoknya, jika diadakan perbincangan pasti semuanya akan gembira.
Aku juga benar-benar gembira apabila berita sedih yang menyelubungi sahabat baik aku bertukar menjadi berita gembira. Apa tidaknya, bila menghitung hari untuk 'mengosongkan perut' tiba-tiba jantung insan kecil itu masih berdenyut dan masih selamat. Alhamdulillah.. rupanya silap juga perhitungan para cerdik pandai dalam bidang perubatan bila membuat percaturan tentang keguguran. Jangan silap langkah wahai tuan dan puan doktor. Kerana silap perhitungan anda boleh menghilangkan satu nyawa. Bukan menuding jari malah jauh sekali menyalahkan pihak tersebut tapi jika semua ini berlaku pada diri sendiri apa agaknya tuan dan puan doktor rasa? Apapun semuanya sudah selamat dan selamat menunggu kelahiran kedua buat sahabatku Irma Izura Ismail. Semoga semuanya berjalan lancar sehinggalah hari kelahirannya. Buat Adilah (anak Irma) jangan nakal-nakal tau.. nanti dah nak jadi kak long.
Apapun aku juga gembira sekarang dengan kehidupan yang penuh tanggungjawab. Cuma doaku agar dijauhkan dari segala penyakit yang boleh menghalang aku dari menjalankan tanggungjawab ku dengan sempurna. Permudakan jua untuk aku mendapat zuriat bagi menyambung generasi umat Islam di bumi  Mu, Tuhan... amin...

Tuesday, March 29, 2011

me n me again...










Bila kesibukan mengganggu hariku...


Ada harinya memang aku langsung tidak punya kelapangan waktu untuk diri sendiri sebab ada tanggungjawab untuk diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan. Tapi apa yang pasti aku harus melaksanakannya agar tiada yang tertunda. Minggu ini benar2 sibuk.. hanya beberapa ketika aku mampu untuk luangkan masa bersama rakan sekerja dan yang terutamanya 'anak2' dibawah jagaanku. Memang rutin sekembalinya dari kursus hidup memang kelam kelibut. Kalau tersilap menghitung waktu pasti ada yang tercicir dijalanan. Apapun aku anggap ia sebagai satu ibadah barulah berkat rezeki yang aku dapat. Ya Allah.. Kau permudahkanlah urusanku sepertimana aku mempermudahkan urusan orang lain. Jauhilah aku dari laluan yang sukar agar bisa aku berjalan tanpa jatuh dan kalau pun aku jatuh, permudahkan aku untuk bangkit semula bagi meneruskan perjalanan yang belum pasti dimana noktahnya...
Kembalikan semangat dirimu.. Motivasikan diri setiap kali datangnya kesusahan dan ingatlah Allah sentiasa bersama kita.

Friday, March 18, 2011

Terima kasih ma dan abah...


Dari rahimmu aku membesar dan sehingga sampai saat dan waktunya aku keluar ke dunia ini. terima kasih kerana mengandungkan aku, walaupun ketika itu aku tidak tahu apa-apa. Dari setitis susumu aku membesar sehingga menjadi manusia berguna.
Bermacam-macam kerenah ku ketika kecil namun kau tetap sabar melayanku. Dengan keinginan untuk memiliki helicopter besi di Pasar Siti Khadijah betul-betul mencabar kewibaanmu. Bukan semua keinginan anak-anak kau penuhi kerana kau tak mahu terlalu manjakan anak. Kata ma, aku terus berlalu bila keinginanku tidak dipenuhi. Maaf ya ma kerana waktu itu aku terlalu meminta. Tak terlayan juga dengan celoteh ku... kata ma seperti ‘bertih jagung’, tak henti bercakap dengan kata lain ada je soalan yang nak aku tanyakan. Sehinggakan ada satu kisah. Pada waktu itu pertama kali ma bawa aku naik bas untuk balik ke rumah. Pengalaman baru! Aku degil. Berdiri atas kerusi dalam bas sebab nak tengok kat luar. Macam-macam soalan keluar yang memerlukan jawapan diberikan segera. Sampai satu tahap agaknya ma dah tak larat nak menjawab maka singgahlah cubitan manja dibadanku. Tapi tak habis disitu.. kata ma aku siap tanya lagi ‘kenapa cubit?.. Kak Ja tanya je..’ Tersengih aku bila mendengar cerita ni. Terasa lucu pun ya juga. Nakal sungguh aku di zaman kanak-kanak. Bila diimbas kembali, terasa aku sungguh bertuah kerana ma sentiasa ada disisiku. Sewaktu susah dan senang. Dalam hidup aku dan adik-adik, ma dan abah memang tekankan bab pendidikan. Dulu kami pernah dibawa ke lapangan terbang dan aku menyatakan keinginan untuk menaiki kapal terbang.. ‘belajar rajin-rajin, esok-esok bolehlah naik kapal terbang...’ Itu satu motivasi bagi kami. Tapi dalam dimotivasikan pun kadangkala aku lalai juga. Ada juga masanya bila malas nak belajar. Nak main je lebih. Ma rajin kejutkan anak-anak untuk bangun awal pagi. Untuk apa? Apa lagi, ulangkaji la. Ma sanggup sama-sama bersengkang mata tunggu anak-anak belajar. Kadang-kadang ada juga abah yang tunggu. Kalau dengan ma boleh terlena tapi kalau dengan abah tak berani. Bila dengan Ma aku buat ulangkaji dalam terlena. Bila buka mata je tengok muka ma dekat je dengan muka aku dengan matanya bulat. Terkejut ya tuhan... Lepas tu mataku terbuka seluas-luasnya. Bila tiba waktu peperiksaan, tv ‘diharamkan’ sama sekali melainkan waktu yang dibenarkan iaitu petang dalam sejam dan waktu berita setengah jam. Selepas tu minta maaf banyak-banyak ya. Buatlah surat rayuan berjela-jela pun memang tak diluluskan. Tapi kami adik-beradik ni nakal sikit. Bila ma dan abah keluar masa tu kami curi-curi menonton tv. Siap pakat lagi, jangan sesiapa pun pecah rahsia. Bila dengar je enjin kereta masuk halaman rumah terus cepat-cepat matikan suis tv dan ambil buku. Tapi ma dan abah tak bodoh. Diaorang sentuh atas tv dah tahu. ‘sape suruh tengok tv?’ Sorang pun tak berani nak jawab. Kalau jawab dapat lagi hadiah saguhati kot. Bila difikir balik bagus juga ma dan abah buat macam tu.
Kami semua sekolah di Bandar. Jadi memang kami tak ramai kawan di kampung. Aku lagi la. Tak ada langsung kawan kat kampung. Mana tidaknya.. bila masa nak berkawan. Balik sekolah kalau tak pergi ko-kurikulum, mesti kena pergi Taski Al-Hilal. Ada kelas Quran setiap petang. Wajib! Jangan nak buat-buat tak larat. Kalau tipu ma dan abah tahu. Buat-buatlah demam kononnya tak nak pergi tapi kena pergi jugak. Tak layan. Ada satu hari aku dengan sengaja tak nak pakai tudung waktu petang. Masa tu nak pergi aktiviti ko-kurikulum kat SRK Zainab 1. Aku duduk di kerusi belakang pemandu. Jadi memang abah tak perasan aku tak pakai tudung. Tapi tuhan nak tunjuk kat abah tiba-tiba dia ternampak aku melalui side mirror. Terus dia hentikan kereta dan tanya aku ‘kenapa tak pakai tudung?’ Aku diam dan tak berani nak jawab. ‘Turun sini, jalan kaki pergi sekolah’. Aku pun tak banyak cakap terus turun. Nasib baik la tak jauh sangan lagi, dalam 500 meter dari sekolah. Padan muka aku. Konon nak ikut kawan tak pakai tudung. Tak pasal-pasal kena jalan kaki. Dah la panas terik. Tapi kena terima hukuman atas kesalahan sendiri. Petang tu memang abah tak ambil aku dari sekolah. Marah sangat agaknya dia pada aku. Maaf ya abah. Tak niat pun nak buat abah marah masa tu. Nakal sungguh anak perempuan sulung dia ni. Balik rumah tak berani angkat muka sebab dah buat salah...
Kalau di sekolah kena marah dengan cikgu pasti aku takkan ceritakan pada ma dan abah sebab akibatnya memang aku kena ceramah balik. Silap-silap 3 hari 3 malam ceramah tu berlanjutan. Sebabnya apa? Kesalahan yang berpunca dari diri sendiri yang menyebabkan cikgu denda di sekolah. Tapi kalau boleh aku tabik hormat kepada semua guru di SRK Zainab 1, memang aku tabik. Pendidikan seawall di sekolah rendah terutamanya di SRK Zainab 1 banyak mengajarkan aku tentang soal masa depan. Mengajar aku dan kawan-kawan untuk melihat jauh kehadapan. Terima kasih cikgu...

Terlalu panjang untuk ku kisahkan tentang perihal diriku.. insyaallah dikelapangan akan datang akan kucoretkan lagi suka duka kisah hidupku untuk dikongsi bersama...

Wednesday, March 16, 2011

Bahagiakah kita jika ada yang terguris...


Sukar untuk dimengertikan tapi itulah hakikat yang sering hadir dalam hidup kita. Perlukah kita menjaga hati semua orang tetapi dalam masa yang sama hati kita yang terluka? Persoalan ini perlu dan harus dijawab dengan akal yang waras bukan hanya sekadar mengikut kata hati. Kita bukan bersendirian dalam ruang lingkup bumi yang sfera. Cuba lihat disekeliling.. bagaimana agaknya kalau kita sendiri tanapa ada unsur lain dalam persekitaran? Pasti susah kan? Itulah yang sering bermain difikiran waras dan didalam sedar manusia. Cuma kadang-kadang kita dengan sengaja dan tidak sengaja terlepas pandang semua perkara ini.

Semuanya mudah kalau masing-masing saling mengerti setiap perlakuan yang terhasil dari manusia lain. Jangan mudah melenting sebaliknya berfikirlah sebelum setiap tindakan dibuat. Mudah kan! Tapi yang jadi susah bila kita memandang hanya dari sudut negative sahaja.. maka tak adalah kesudahannya. Manuding jari pada orang lain bukan penyelesaiannya. Lihatlah dalam diri sendiri dan kaji kenapa semua perkara berlaku. Sedikit sebanyak ia datang dari diri kita sendiri.


Berubahlah sebelum sesuatu terjadi yang boleh membuatkan kita menyesal seumur hidup... andai sesuatu berlaku, jangan terus menuding jari pada org lain. Lihat diri kita sendiri dan tanya kenapa kita tidak membuat pilihan yg tepat dlm melakukan apa jua perkara. Tuhan berikan kita akal untuk berfikir secara waras dan matang. Ambil nama dari sifat Allah iaitu MEMBERI. Ikhlaskan hati dan betulkan niat, insyaallah tuhan akan mempermudahkan jalan yang kita lalui. Andai suatu ketika kita pernah buat kesilapan, mohon keampunan dan buka lembaran baru agar kita tak tersasar jauh dari landasan kehidupan berpandukan Al-Quran dan Al-Sunnah.. ITULAH PEGANGAN HIDUP KITA. Cuba kita bayangkan apa yg pernah kita lakukan dan apa yg masih belum kita lakukan untuk keluarga, bangsa dan agama. DUNIA HANYA SEMENTARA. Sejauh mana pun kita melangkah tidak salah kalau sesekali kita toleh sejenak ke belakang agar kita tidak lagi tersesat di alam fana ini. Kita tidak mampu untuk memuaskan hati semua pihak tapi cukuplah sekadar kita mempermudahkan segala urusan orang lain. Cepat atau lambat tuhan akan bantu kita dalam mempermudahkan urusan kita. Tautilah kembali apa yg jauh dan jangan biarkan ia makin jauh kerana itu lebih menyakitkan. Bukan hanya hati kita tapi hati-hati insan yang selama ini telah membesarkan kita tanpa meminta satu sen pun bayaran.

Tuesday, March 15, 2011

Cinta tanpa syarat...


Allah sebagai Tuhan yang bersifat al-Wahhab bermaksud Yang Maha Memberi. Namun memberi dengan sifat al-Wahhab itu, terkandung di dalamnya lima sifat:
  1. Memberi tanpa meminta apa-apa balasan. Allah, Tuhan yang al-Wahhab itu Maha Kaya, tidak perlu kepada Makhluk. Kerana itulah Allah SWT Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab tanpa mengurangkan langsung perbendaharaan-Nya. Percikan sifat al-Wahhab itu Allah limpahkan kepada jiwa ibu bapa kita agar mereka kaya dengan kasih dan sayang. Sayang kepada seorang anak tidak berbeza dengan sayangnya kepada 9 anak yang menyusul kemudian. Anak durhaka, menconteng arang ke muka, mereka masih terus memberi kasih sayang, kerana mereka beroleh kasih sayang Rahmat Allah yang al-Wahhab.
  2. Memberi secara berulang-ulang. Al-Wahhab terus memberi berulang kali, tidak jemu Memberi dan tidak Marah diminta. Percikan sifat inilah yang Allah limpahkan ke jiwa ibu bapa kita. Mintalah susu pada setiap malam di usia kecilmu. Ibu akan bangun meraba dinding mencari cahaya, demi anak yang diberikan hati dan cinta. Dia tidak jemu, bahkan sejurus selepas kita dewasa, diberikannya pula cinta itu kepada adik kecil yang baru menjenguk datang ke hidup duniawi.
  3. Memberi tanpa diminta. Allah SWT Tuhan yang al-Wahhab, memberi tanpa diminta. Hitunglah pada pelbagai yang ada di sekeliling kita. Dia berikan kita wajah yang cantik tanpa kita minta. Dia berikan kita sahabat yang baik, tanpa kita minta dan jangka. Allah itu Maha Memberi dengan sifat-Nya yang al-Wahhab. Sifat inilah yang Allah tanamkan kepada naluri ibu dan bapa. Pelbagai keperluan dan hiasan hidup diberikan tanpa diminta. Ibu mencium dahi, ayah menyapu kepala, semuanya demi sayang mereka kepada kita, sayang yang diberi tanpa diminta.
  4. Memberi sesuatu yang amat berharga. Allah Dia yang al-Wahhab memberi dengan sifat itu perkara-perkara besar yang amat berharga. Dia kurniakan kita dengan sifat al-Wahhab itu, bukanlah hiasan-hiasan dunia yang tidak berharga. Al-Wahhab, dari-Nya datang RAHMAT yang menyelamatkan kita, mengampunkan kita, memelihara kita tanpa menghitung-hitung satu taat dibalas nikmat, satu maksiat dibalas binasa dan kiamat. Peluang demi peluang diberikan. Sehinggalah sampai masa pintu taubat itu Dia tutup atau kita menutupnya sendiri. Semuanya diberikan kerana kita hidup untuk TUJUAN yang besar. Cebis-cebis sifat inilah Allah limpahkan kepada jiwa ibu dan bapa kita. Diberikannya kasih sayang yang tidak mampu diberi walau oleh dua pasangan yang paling bercinta. Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah selama-lama. Semuanya diberi agar kita membesar penuh sempurna, menjadi insan yang berjaya dan mulia.
  5. Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan kebaikan. Allah jua dengan sifat al-Wahhab memberikan pelbagai kebaikan kepada kita, agar dengan kebaikan itu kita sambut dengan syukur dan taat, berupa khidmat kepada sesama insan. Diberikan-Nya kita harta, agar kita bersedekah. Diberikan-Nya kita ilmu agar kita berdakwah. Diberikan-Nya kita pelbagai yang baik, agar dengannya kita berbuat baik.
Kita mohon agar Allah limpahkan Rahmat-Nya kepada kedua ibu bapa kita. Allah memberikan rahmat itu dengan sifat al-Wahhab-Nya. Dengan itu jualah diberikan-Nya ibu dan bapa kita kasih sayang tanpa syarat untuk anak-anak mereka. Dengan itu jualah mudah-mudahan Allah mengasihani kita tanpa syarat, mengampunkan kita tanpa syarat. Kerana syarat Allah terlalu perkasa untuk disahut oleh hamba yang lemah dan kerdil seperti kita.
“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa ibu bapaku dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil”.

Thursday, March 3, 2011

bukan itu pintaku...

Salam buat semua...

Bukan pintaku andainya ada yg kurang senang dengan caraku
Bukan pintaku untuk berada dalam keadaan yg aku sendiri tidak pasti..
Sayang atau bencikah itu.. atau hanya mahu menguji..
Apapun aku harus sabar kerana semua ini ujian tuhan...
Jika sebelum ini semuanya terlalu sukar untukku tempuhi namun sekarang segalanya sudah lali bagiku
Perjalanan hidup ini harus diteruskan
Langkah kaiku tidak seharusnya longlai...
Biarkan cinta lalu berlabuh dan izinkan kasih sayang baru menjelma kerana setiap sesuatu yang berlaku
Pasti ada hikmahnya..
Hanya pada Mu ku berserah kerana aku hanya selemah-lemah makhluk di atas hamparan bumimu yang fana...