Daisypath Happy Birthday tickers

Daisypath Happy Birthday tickers

Friday, March 18, 2011

Terima kasih ma dan abah...


Dari rahimmu aku membesar dan sehingga sampai saat dan waktunya aku keluar ke dunia ini. terima kasih kerana mengandungkan aku, walaupun ketika itu aku tidak tahu apa-apa. Dari setitis susumu aku membesar sehingga menjadi manusia berguna.
Bermacam-macam kerenah ku ketika kecil namun kau tetap sabar melayanku. Dengan keinginan untuk memiliki helicopter besi di Pasar Siti Khadijah betul-betul mencabar kewibaanmu. Bukan semua keinginan anak-anak kau penuhi kerana kau tak mahu terlalu manjakan anak. Kata ma, aku terus berlalu bila keinginanku tidak dipenuhi. Maaf ya ma kerana waktu itu aku terlalu meminta. Tak terlayan juga dengan celoteh ku... kata ma seperti ‘bertih jagung’, tak henti bercakap dengan kata lain ada je soalan yang nak aku tanyakan. Sehinggakan ada satu kisah. Pada waktu itu pertama kali ma bawa aku naik bas untuk balik ke rumah. Pengalaman baru! Aku degil. Berdiri atas kerusi dalam bas sebab nak tengok kat luar. Macam-macam soalan keluar yang memerlukan jawapan diberikan segera. Sampai satu tahap agaknya ma dah tak larat nak menjawab maka singgahlah cubitan manja dibadanku. Tapi tak habis disitu.. kata ma aku siap tanya lagi ‘kenapa cubit?.. Kak Ja tanya je..’ Tersengih aku bila mendengar cerita ni. Terasa lucu pun ya juga. Nakal sungguh aku di zaman kanak-kanak. Bila diimbas kembali, terasa aku sungguh bertuah kerana ma sentiasa ada disisiku. Sewaktu susah dan senang. Dalam hidup aku dan adik-adik, ma dan abah memang tekankan bab pendidikan. Dulu kami pernah dibawa ke lapangan terbang dan aku menyatakan keinginan untuk menaiki kapal terbang.. ‘belajar rajin-rajin, esok-esok bolehlah naik kapal terbang...’ Itu satu motivasi bagi kami. Tapi dalam dimotivasikan pun kadangkala aku lalai juga. Ada juga masanya bila malas nak belajar. Nak main je lebih. Ma rajin kejutkan anak-anak untuk bangun awal pagi. Untuk apa? Apa lagi, ulangkaji la. Ma sanggup sama-sama bersengkang mata tunggu anak-anak belajar. Kadang-kadang ada juga abah yang tunggu. Kalau dengan ma boleh terlena tapi kalau dengan abah tak berani. Bila dengan Ma aku buat ulangkaji dalam terlena. Bila buka mata je tengok muka ma dekat je dengan muka aku dengan matanya bulat. Terkejut ya tuhan... Lepas tu mataku terbuka seluas-luasnya. Bila tiba waktu peperiksaan, tv ‘diharamkan’ sama sekali melainkan waktu yang dibenarkan iaitu petang dalam sejam dan waktu berita setengah jam. Selepas tu minta maaf banyak-banyak ya. Buatlah surat rayuan berjela-jela pun memang tak diluluskan. Tapi kami adik-beradik ni nakal sikit. Bila ma dan abah keluar masa tu kami curi-curi menonton tv. Siap pakat lagi, jangan sesiapa pun pecah rahsia. Bila dengar je enjin kereta masuk halaman rumah terus cepat-cepat matikan suis tv dan ambil buku. Tapi ma dan abah tak bodoh. Diaorang sentuh atas tv dah tahu. ‘sape suruh tengok tv?’ Sorang pun tak berani nak jawab. Kalau jawab dapat lagi hadiah saguhati kot. Bila difikir balik bagus juga ma dan abah buat macam tu.
Kami semua sekolah di Bandar. Jadi memang kami tak ramai kawan di kampung. Aku lagi la. Tak ada langsung kawan kat kampung. Mana tidaknya.. bila masa nak berkawan. Balik sekolah kalau tak pergi ko-kurikulum, mesti kena pergi Taski Al-Hilal. Ada kelas Quran setiap petang. Wajib! Jangan nak buat-buat tak larat. Kalau tipu ma dan abah tahu. Buat-buatlah demam kononnya tak nak pergi tapi kena pergi jugak. Tak layan. Ada satu hari aku dengan sengaja tak nak pakai tudung waktu petang. Masa tu nak pergi aktiviti ko-kurikulum kat SRK Zainab 1. Aku duduk di kerusi belakang pemandu. Jadi memang abah tak perasan aku tak pakai tudung. Tapi tuhan nak tunjuk kat abah tiba-tiba dia ternampak aku melalui side mirror. Terus dia hentikan kereta dan tanya aku ‘kenapa tak pakai tudung?’ Aku diam dan tak berani nak jawab. ‘Turun sini, jalan kaki pergi sekolah’. Aku pun tak banyak cakap terus turun. Nasib baik la tak jauh sangan lagi, dalam 500 meter dari sekolah. Padan muka aku. Konon nak ikut kawan tak pakai tudung. Tak pasal-pasal kena jalan kaki. Dah la panas terik. Tapi kena terima hukuman atas kesalahan sendiri. Petang tu memang abah tak ambil aku dari sekolah. Marah sangat agaknya dia pada aku. Maaf ya abah. Tak niat pun nak buat abah marah masa tu. Nakal sungguh anak perempuan sulung dia ni. Balik rumah tak berani angkat muka sebab dah buat salah...
Kalau di sekolah kena marah dengan cikgu pasti aku takkan ceritakan pada ma dan abah sebab akibatnya memang aku kena ceramah balik. Silap-silap 3 hari 3 malam ceramah tu berlanjutan. Sebabnya apa? Kesalahan yang berpunca dari diri sendiri yang menyebabkan cikgu denda di sekolah. Tapi kalau boleh aku tabik hormat kepada semua guru di SRK Zainab 1, memang aku tabik. Pendidikan seawall di sekolah rendah terutamanya di SRK Zainab 1 banyak mengajarkan aku tentang soal masa depan. Mengajar aku dan kawan-kawan untuk melihat jauh kehadapan. Terima kasih cikgu...

Terlalu panjang untuk ku kisahkan tentang perihal diriku.. insyaallah dikelapangan akan datang akan kucoretkan lagi suka duka kisah hidupku untuk dikongsi bersama...

No comments:

Post a Comment